Ilmu merupakan perkataan bahasa arab yang bermaksud pengetahuan . Ain Lam Dan Mim, Apakah yang sebenarnya dipanggil ilmu? Adakah ilmu itu sama dengan informasi? Pernahkah anda belajar sesuatu ketika anda kecil, dan apa yang anda telah belajar itu masih anda ingat sampai sekarang?. Adakah itu dipanggil ilmu?
Ilmu yang sebenar-benarnya adalah ilmu yang berada di dalam dada. Ilmu tidak ada pada buku. Buku adalah hasil output dari dada seorang yang berilmu. Adakah anda dapat menangkap perbezaan antaranya? . Bahasa yang kita petuturkan sehari-hari adalah ilmu yang paling-paling bermanfaat yang kita telah belajar dari sejak kita kecil. Anda setuju? . Kita belajar bahasa melayu melalui banyak cara seperti dengan diajar oleh ibubapa , mendengar percakapan orang lain, belajar di sekolah, dan banyak lagi sumber-sumber yang lain.
Cuba anda bayangkan kenapa saya katakan bahawa ilmu tentang bahasa pertuturan tu sangat bermanfaat. Contohnya ketika anda pergi ke kedai hendak membeli gula, jika anda tidak mempunyai ilmu bahasa untuk mengatakan "Saya nak gula 2 kilo." Bagaimana anda nak terjemahkan keinginan untuk membeli gula jika anda tak pernah tahu perkataan "saya", perkataan "nak",dan perkataan "gula"?
Tetapi disebabkan kita telah belajar ilmu tentang perkataan tersebut sejak kita kecil. Kita dapat melafazkan keinginan untuk membeli gula itu dengan mudah. Contoh ini adalah contoh yang sangat mudah untuk menunjukkan kehebatan ilmu yang ada di dalam dada. Walaupun ilmu bahasa itu bersifat universal dan global, tetapi ia masih tetap ilmu yang bermanfaat.
Pernahkah kita bertanya daripada manakah sumber ilmu ini yang sebenar-benarnya. Betulkah sebab kita belajar, oleh itu kita menjadi terpelajar dan berilmu?. Jawapan bagi soalan tersebut ada dengan jelas di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Baqarah.
Ilmu tentang nama setiap benda di dunia adalah antara ilmu yang paling awal sekali di ajarkan kepada manusia bernama Adam. Bukanlah Adam itu sendiri yang mengetahui nama setiap benda tetapi pada hakikat yang sebenarnya segala ilmu adalah milik Allah S.W.T.
Cerita yang disampaikan di dalam Al-Quran adalah cerita yang benar dan haq. Bukan cerita dongeng dan direka-reka. Jadi , kita tidaklah boleh menganggap remeh temeh tentang cerita yang diceritakan oleh Allah S.W.T sendiri di dalam Al-Quran. Setiap cerita yang disampaikan adalah cerita yang benar-benar terjadi pada suatu masa dahulu seperti kisah ini:-
Ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat-malaikat :
Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi itu Khalifah.
Berkata malaikat: Apakah Engkau hendak menjadikan di dalamnya orang-orang yang melakukan kerosakan dan sentiasa saling berbunuh-bunuh menumpahkan darah.
Sedangkan kami sentiasa bertasbih dan memuji Engkau dan senantiasa mensucikan Engkau.
Allah S.W.T Al-Hakim berfirman : Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu.
Kemudian Allah S.W.T mengajarkan kepada Adam [Asma`a Kullaha] maksudnya nama setiap benda-benda.
Kemudian Allah berfirman kepada Malaikat : Katakanlah kepada Ku , nama-nama itu jika betul-betul kamu orang-orang yang benar.
Maka, Apakah jawapan malaikat apabila mereka sedar bahawa jika Allah tidak mengajarkan ilmu tentang nama-nama itu kepada mereka, mustahil bagi mereka untuk mengetahuinya. Jawapan yang diberikan sangat hebat sekali sehingga dirakamkan dialog tersebut di dalam Al-Quran. Perlu diingat dialog itu benar-benar terjadi suatu masa dahulu. Anda tahu jawapan tersebut... Lihat video untuk mengingat semula...
Jika anda tidak tahu, carilah di dalam surah Al-Baqarah dimuka-surat yang agak depan.
Pengajaran yang diberikan olah Al-Quran sebenarnya adalah untuk menjadikan kita sentiasa beringat bahawa kita adalah milik Allah S.W.T. Walaupun kita sedang berada di dalam kelas sedang belajar subject-subject tertentu, tetapi hakikat yang sebenarnya , pemahaman tentang segala sesuatu itu datang dari Allah Yang Maha Bijaksana.
Semoga Allah sentiasa memberi taufiq kepada kita untuk sentiasa mencari Ilmu tanpa melupakanNya.
29 September 2007
Diskusi: Bagaimana anda mendefinisikan ilmu?
Posted by syahmitoo at 9:01 PM 0 comments
Subscribe to:
Posts (Atom)